Jumaat, 1 Oktober 2010

Apa yang dimaksudkan dengan Bioteknologi?

Assalamu'alaikum..

Memandangkan ana belajar dalam bidang bioteknologi ,jadi dalam blog ini,ana kepilkan dengan artikel..apa yang dimaksudkan dengan istilah bioteknologi..


Bioteknologi: Kelebihan dan Ancamannya Terhadap Sarwajagat
26 December 2007
Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN

BIOTEKNOLOGI merupakan satu bidang sains yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup manusia dari pelbagai segi, misalnya dalam bidang pertanian, perubatan dan kualiti alam sekitar. Pada abad ke-21 ini, bioteknologi memainkan peranan penting dalam pelbagai aktiviti kehidupan, misalnya penggunaan cap jari DNA bagi mengesan penjenayah; penghasilan bahan ubatan seperti vaksin dari organisma diubahsuai bahan genetik (GMOs); terapi gen bagi mengubati penyakit yang diwarisi dan tumbuhan transgenik (GM) bagi sektor pertanian. Bioteknologi ialah proses di mana sel atau organisme (biologi) digunakan sebagai bahan asas dalam proses (teknologi) untuk menghasilkan sesuatu produk. Dalam erti kata lain bioteknologi merupakan kajian sains mengenai benda hidup dengan menggunakan teknik atau proses teknologi untuk meningkatkan penghasilan sumber hidupan dan penghasilan pelbagai produk lain.Bioteknologi terbit daripada dua unsur iaitu ‘biologi’ dan ‘teknologi’. Kamus Dewan mentakrifkan ‘biologi’ sebagai ilmu hayat atau benda-benda hidup. Sementara ‘teknologi’ itu pula bermakna ilmu pengetahuan mengenai segala ilmu yang berkaitan dengan perindustrian dan sains gunaan yang mempunyai nilai ekonomi. Persidangan mengenai kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah membuat satu takrifan bagi bioteknologi: “Bioteknologi bererti sebarang penggunaan teknologi yang menggunakan sistem biologi, organisma hidup, atau teori terhasil darinya, bagi menghasilkan atau mengubah barangan atau proses bagi kegunaan khusus.”Dalam sejarah tamadun manusia terawal seperti Mesir dan Babylon dicatatkan bahawa masyarakat mereka telah menghasilkan minuman dan makanan seperti bir, roti dan keju. Namun pada masa itu, manusia tidak mengetahui bahawa proses untuk menghasilkan bahan-bahan tersebut merupakan suatu proses sains dipanggil bioteknologi. Apabila saintis seperti Meischer menemui DNA dalam nukleus sel dan James D. Watson serta Francis Crick (1953) mencadangkan bahawa DNA berbentuk heliks ganda dua, bidang bioteknologi telah berkembang dengan pesat.Sebelum 1970-an, istilah bioteknologi, kebanyakannya digunakan dalam industri pemprosesan makanan dan pertanian. Semenjak 1970-an, ia mulai digunakan oleh badan saintifik Barat untuk merujuk kepada teknik berasaskan makmal yang dibangunkan dalam penyelidikan biologi, seperti pengabungan semula DNA atau proses berasaskan penkulturan tisu. Malah istilah ini boleh digunakan dalam erti lebih meluas bagi menggambarkan keseluruhan kaedah, yang silam atau moden, bagi memanipulasi organik bagi memenuhi kehendak manusia. Bioteknologi terus mempengaruhi kehidupan manusia sejak dulu tanpa mengira agama, warna kulit dan cara hidup seseorang. Sama ada disedari atau tidak, kita telahpun menjadi pengguna kepada hasil bioteknologi itu. Terdapat 5,000 syarikat di seluruh dunia yang berasaskan bioteknologi dengan nilai pasaran mencecah RM2.8 trilion. Justeru, menyedari kepentingan bioteknologi dalam pembangunan dunia sejagat, kerajaan Malaysia telah meletakkan bidang ini sebagai salah satu bidang berkepentingan untuk dimajukan dalam Pelan Rancangan Malaysia ke-8. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 28 April 2005 telah melancarkan Dasar Bioteknologi Negara yang menggariskan sembilan teras utama dalam membangunkan bidang bioteknologi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang baru. Kerajaan telah memperuntukkan RM4 billion untuk pembangunan bioteknologi manakala sektor awam dan swasta pula dijangka melabur sebanyak RM30 billion. Ini akan membuka ruang kepada bioteknologi menjadi antara penyumbang terbesar pendapatan negara. Kerajaan juga telah meletakkan sasaran sumbangan sebanyak 2.5 peratus daripada industri bioteknologi kepada keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2010. Sumbangan industri bioteknologi kepada KDNK juga dijangka meningkat kepada empat peratus menjelang 2015 dan lima peratus pada 2020. Sejajar dengan itu, kerajaan akan membangunkan Bionexus Malaysia iaitu rangkaian pusat kecemerlangan terdiri daripada institusi terbaik dalam negara yang menawarkan subsektor khusus bioteknologi dengan permulaannya akan tertumpu kepada tiga pusat kecemerlangan, iaitu bioteknologi pertanian di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Universiti Putra Malaysia (UPM); genomik dan biologi molekular di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala pusat kecemerlangan bidang farmaseutikal dan nutraseutikal akan dibina di tapak asal Lembah Bio di Dengkil.Teras-teras yang digariskan dalam Dasar Bioteknologi Negara ialah:· Pembangunan Bioteknologi Pertanian - merubah dan memperluaskan nilai penciptaan dalam sektor pertanian melalui bioteknologi.· Penubuhan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (MBC) yang berada di bawah seliaan Majlis Pelaksanaan Dasar yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri. MBC diletakkan sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.· Pembangunan Bioteknologi dan Penjagaan Kesihatan - Menggunakan kelebihan biodiversiti negara dengan melakukan penemuan komersial dalam pembangunan produk-produk asli, termasuk meletakkan Malaysia dalam peta pasaran bi-generik.· Pembangunan Bioteknologi Perindustrian - Memastikan pertumbuhan peluang-peluang dalam aplikasi pemprosesan bio-termaju dan teknologi bio-pembuatan.· Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan pengambilalihan teknologi - Menubuhkan pusat kecemerlangan, dalam institusi sedia ada atau baru dengan mengadakan kerjasama antara kumpulan penyelidikan pelbagai bidang.· Pembangunan sumber tenaga - Membina kemampuan sumber tenaga bioteknologi negara bagi memenuhi keperluan pasaran melalui pelbagai skim khas, program dan latihan.· Pembangunan prasarana kewangan - Menawarkan dana ‘makmal ke pasaran’ yang kompetitif dan insentif untuk menggalakkan penglibatan ahli akademik, sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).· Pembangunan kerangka kerja peraturan dan perundangan - Mewujudkan persekitaran kondusif melalui penyemakan kerangka kerja prosedur dan perundangan secara berterusan selaras dengan standard dan amalan global. Membangunkan regim perlindungan harta intelek yang mampu menyokong aktiviti R&D dan pengkomersialan.· Kedudukan strategik - mewujudkan strategi pemasaran global untuk membina jenama bioteknologi Malaysia yang diiktiraf.Jika rancangan ini berjaya, industri bioteknologi negara dijangka mampu mewujudkan 280,000 peluang pekerjaan menjelang 2020 selain meningkatkan imej pertanian negara sekaligus membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat terutama yang tinggal di luar bandar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan