Selasa, 16 Mac 2010

Peranan akal fikiran sebagai saluran ilmu

judul: Isu-isu Dalam Pemikiran Islam '
Penulis: Mohd Farid Mohd Shahran
Penerbit: Angkatan Belia Islam Malaysia

Pengulas: Hasliza Hassan SEJARAH tamadun manusia sebenarnya adalah sejarah pemikiran yang menghasilkan pelbagai kemajuan sehingga mencipta tamadun besar. Tamadun Islam berpaksikan kekuatan pemikiran dan dapat dilihat dalam tulisan sarjana besarnya. Walaupun ada beranggapan masyarakat tidak memerlukan pemikiran Islam kerana disifatkan terawang, tidak berpijak di bumi nyata dan tidak praktikal, pandangan sempit itu perlu disanggah. Buku Isu-Isu Dalam Pemikiran Islam menghimpunkan makalah diterbitkan dalam buletin al-Hikmah terbitan Institut Antarabangsa dan Tamadun Islam (Istac) dan kertas kerja yang pernah dibentangkan penulisnya, Mohd Farid Mohd Shahran, pada seminar yang belum diterbitkan. Bahan ilmiah ini mengupas kekuatan tamadun Islam yang tidak meninggalkan artifak atau monumen kebendaan sebaliknya merujuk kepada kehebatan karya agung sarjana serta tokoh ilmuwan yang mengkaji pelbagai bidang ilmu. Antara kertas kerja yang terkandung dalam buku ini menjelaskan peranan akal sebagai saluran ilmu yang dapat menangkis hujah golongan menafikan keupayaan manusia mendapatkan ilmu, serta menidakkan keyakinan kaitan ilmu dengan nilai keagamaan dan kerohanian. Hakikatnya, peranan akal memang mendasari pertumbuhan sebahagian ilmu Islam yang dikupas serta dihurai ulama terdahulu melalui ijtihad mengenai apa yang disampaikan oleh Al-Quran dan sunnah. Begitu juga peranan logik yang memperlihatkan pemikir serta sarjana Islam berjaya menghuraikannya sehingga difahami dengan jelas oleh ilmuwan Islam. Buku yang menghimpunkan 10 tajuk mengembangkan pemikiran Islam ini dapat membuka ruang perbahasan serta memperhalusi pengembangan ilmu yang membina tamadun manusia.

Sumber:
Berita harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan