Ahad, 28 November 2010

Rayakan syawal,jangan tentang usaha Nabi saw



Rayakan Syawal, jangan tentang usaha Nabi s.a.w.


Thursday, 30 Ramadan 1431

Perutusan Hari Raya Presiden PAS

Allahuakbar, Allahukbar, Allahuakbar…Lailaha Hilallah Wallahu Akbar,Allahuakbar Walillahil Hamd.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang;


Saya bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari raya kurnia Allah SWT bersempena dengan kita menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan. Menjadi kelaziman selepas menunaikan ibadat-ibadat yang besar. Allah Ta’ala, mengurniakan hari yang besar. Bagi sembahyang lima waktu dikurniakan hari Jumaat, bagi puasa Ramadan dikurniakan Hari Raya Aidilfitri dan bagi ibadat Haji dikurniakan Hari Raya Korban (Aidiladha).


Hari Raya Aidlifitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Setelah umat Islam dididik, ditarbiyyah dengan mengerjakan ibadat puasa di bulan Ramadan, supaya menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Adalah juga menjadi suatu hikmah yang besar apabila Allah SWT memilih di bulan Ramadan ini berlakunya peristiwa al-Quran Karim diturunkan dan peristiwa peperangan Badar. Peristiwa pembukaan Mekah, diikuti dengan bulan Rejab, bulan Syawal dengan peristiwa Ahzab.


Ini menunjukkan bahawa kemuncak kepada taqwa yang ditarbiyyahkan melalui puasa Ramadan. Orang-orang yang beriman hendaklah menerima al-Quran Karim, satu-satunya petunjuk yang benar kerana ia (al-Quran) daripada Allah SWT. Setelah Allah SWT menyatakan tujuan ibadat puasa itu, supaya kamu (manusia) bertaqwa kepada Allah SWT.


Allah SWT juga menegaskan, “Kitab (al-Quran) ini tidak syak lagi memberi Petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa”. Dan hanya orang-orang yang bertaqwa yang menjadikan al-Quran Karim sebagai Petunjuk. Marilah kita mempelajari daripada menafsirkan al-Quran Karim secara praktikal atau amali yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.


Apabila beramal dengan al-Quran bukan sahaja mengaku menjadi seorang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah. Tetapi, disertakan dengan keimanan yang sungguh-sungguh dan dalam masa yang sama menegakkan al-Quran itu menjadi Petunjuk dalam seluruh cara hidup individu, keluarga dan masyarakat.


Apabila Rasulullah SAW berusaha untuk mendirikan sebuah negara atau amalan politik. Ini menunjukkan bahawa seluruh al-Quran Karim tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan adanya amalan (kuasa) politik yang menjadi syarat, kerana hukum-hukum yang ada dalam al-Quran Karim mensyaratkan adanya negara yang didirikan. Negara yang dilandaskan al-Quran Karim itu dan Petunjuk yang diajar oleh Rasulullah SAW supaya hukum-hukumnya diamalkan.


Para ulama’ mengatakan, “Apa yang tidak sempurna dari perkara yang wajib melainkan dengannya, maka ia (perkara itu) menjadi wajib”. Bagi mendirikan sembahyang syaratnya mestilah berwudhuk, maka berwudhuk untuk sembahyang yang wajib hukumnya wajib. Bagi menutup aurat yang wajib mestilah mempunyai pakaian yang lengkap bagi menutup aurat. Maka, mencari pakaian yang lengkap bagi menutup aurat hukumnya adalah wajib. Bagi melaksanakan seluruh perintah-perintah al-Quran Karim memerlukan amalan politik bagi mendirikan negara yang mendaulatkan Syariat (hukum) Allah. Maka, berpolitik mendirikan negara adalah wajib. Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW. Apabila di sana terdapat di kalangan manusia yang tidak boleh menerima petunjuk al-Quran Karim. Ini kerana, al-Quran itu menghalang hawa nafsu mereka untuk memerintah secara zalim dan diktator. Untuk mereka melakukan cara yang melampau dalam menyalahgunakan kuasa, menyalahgunakan nikmat harta negara yang diberi oleh Allah SWT. Meneguhkan kuasa menyebabkan seseorang itu boleh membuat apa sahaja.
Apabila al-Quran Karim menghalang kelakuan yang haram dan buruk itu, menyebabkan kumpulan-kumpulan yang mahu melakukan amalan itu menentang usaha Nabi SAW untuk mendirikan negara Islam. Maka, berlakulah pertembungan antara haq dan batil, di antara benar dan salah, di antara adil dan zalim. Inilah yang menimbulkan peristiwa Badar, yang menimbulkan pembukaan Mekah, yang menimbulkan peristiwa Ahzab.


Apa yang menarik, peristiwa-peristiwa ini melibatkan bangsa Arab, melibatkan orang-orang Yahudi Ahlil Kitab. Ini menunjukkan bahawa pertembungan yang melahirkan Furqan, yang membezakan haq dan batil, bukan di atas asas kebangsaan, bukan di atas asas ke negerian. Tetapi di atas asas prinsip aqidah Islam yang benar, yang menegakkan iman, yang menolak kufur, yang menegakkan Islam, yang menolak jahiliah, yang menegakkan adil yang menolak kezaliman.


Inilah semangat yang perlu dilahirkan dari Ramadan, semangat yang diperlukan lahir dari hari raya. Di sinilah hikmatnya, mengapa tiap-tiap hari raya kita bertakbir membesarkan Allah SWT dengan menyebut ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar’ dan Allah sahaja Yang Maha Besar. Dan bagi Allah sahaja kepujian dan kita menyebut (maksudnya): “Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, Esa-Nya dan tidak ada sekutu bagi-Nya, yang menolong hamba-Nya, yang berjuang untuk menegakkan Islam, yang menghancurkan bala tentera Ahzab. Yang menentang usaha bagi menegakkan Islam itu”.


Inilah semangat hari raya yang perlu disambut. Dalam masa yang sama, kita hendaklah mengukuhkan saf umat Islam itu sendiri. Khususnya, di kalangan mereka yang menegakkan Islam dengan mengeratkan hubungan persaudaraan di antara satu sama lain. Dan mereka yang terlanjur melakukan kesilapan hendaklah sedar dan insaf serta kembali ke pangkal jalan. Sebagaimana yang ditunjuk oleh generasi awal umat Islam yang membawa mereka kepada kemuliaan. Kemuliaan yang diberi oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Khalifah Umar al-Khatab, “Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari Islam, nescaya kita akan menerima penghinaan daripada Allah”.


Cukuplah, kehinaan yang menimpa umat Islam hari ini mereka diratah oleh kaum yang lain. Mereka sepatutnya menjadi contoh kepada umat yang lain, tiba-tiba mereka terpengaruh dengan umat yang lain. Marilah, kita kembali dengan semangat Ramadan, dengan semangat hari raya melahirkan umat yang dinyatakan oleh Allah (bermaksud): “Kamu adalah umat yang dijadikan oleh Allah untuk dikeluarkan kepada manusia, untuk menjadi contoh, untuk memimpin manusia, dengan ciri-ciri dan sifat-sifat kamu menyuruh kepada yang baik dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”.


Dan mudah-mudahan kita dapat melaksanakan kewajipan ini dengan penuh mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah SWT sebagaimana yang dijanjikan (bermaksud): “Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Allah yang menjadikan mereka itu golongan yang berkuasa, dan memerintah negara di atas muka bumi ini sebagaimana dikurniakan kepada umat yang terdahulu dan Allah menjadikan keadaan yang berubah, agama yang diredha ialah Islam ini berkuasa memerintah. Keadaan yang menakutkan bertukar menjadi keamanan. Mereka itu mengabdikan diri kepada Aku yakni Allah, dan mereka tidak menyengutui Aku yakni Allah dengan sesuatu yang lain. Dan sesiapa yang kufur selepas itu mereka itulah orang-orang yang fasiq.


Sekian.
Salam Hormat,
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Gems untuk tangani gejala sosial

GeMS untuk tangani gejala sosial

Khaulah Azwar

SELAYANG, 28 Nov: Kira-kira 5.3 juta rakyat di seluruh negara kini hidup di belenggu dengan keadaan yang tidak berapa selamat kerana diancam dengan berbagai tekanan.
Rententan itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah dengan menggadakan program Generasi Idaman Selangor (GeMS) sebagai langkah permulaan.
Menurut Dr Halimah Ali, Pengerusi Jawatan Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal, Insan negeri dalam sesi dailog bersama ketua-ketua kampung dan jabatan serta agensi kerajaan daerah Gombak semalam berkata, program itu merupakan satu permulaan untuk dibentangkan kepada semua yang hadir bagi bersama menangani masalah gejala sosial di negara ini.

Beliau telah meminta kepada semua yang hadir untuk menyediakan pelan induk dengan isi kandungan maklumat terperinci bagi mengenal pasti punca-punca berlakunya gejala sosial, tempat sarang maksiat, pembiakan sarang penagih dadah dan sebagainya di kalangan remaja sekolah dan belia.

Katanya, segala maklumat itu harus diserahkan kepada penghulu dan semua data tersebut kemudiannya akan diketengahkan kepada pegawai daerah yang dilantik sebagai Pengerusi Program Jelajah Generasi Selangor (GeMS) dan seterusnya akan dibawa ke peringkat negeri.
Tamnbahnya, semua data pelan induk di peringkat kawasan dan GeMS harus dihantar kepadanya pada 15 Januari 2011 dengan hasil kerja data yang tepat, bukan sekadar cantik tetapi mahukan data yang terperinci dan sahih.

“Semoga dengan pembentangan ‘master plan’ daripada peringkat kawasan ini kita dapat tahu berapa banyak sarang maksiat, ponteng sekolah, penagih dadah, pembuangan bayi dan sebagainya telah berlaku.

“Dan hasil tersebut kita akan mengambil tindakan selanjutnya. Semoga usaha murni ini akan dapat membendung masalah gejala sosial yang semakin menular,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan negeri begitu serius untuk menangani gejala sosial dengan mengadakan berbagai program di beberapa kawasan di Selangor.

Jelasnya, antaranya rakyat telah mengikuti kem motivasi pelajar, Program Tuisyen Rayat Selangor (PTRS) , Kelab GeMS IPT, kem pemulihan akhlak dan pemantapan akidah, seminar keibubapaan, kursus jati diri, ceramah dan dailog mengikut kategori usia, kem kepimpinan remaja dan belia, seminar keluarga, kursus literasi komputer, ‘grooming image’ dan kem bina sahsiah.

Semua program tersebut, katanya diadakan untuk mendekati remaja dan belia agar mereka tidak tersasar jauh daripada landasan yang sebenar.
GeMS yang diadakan semalam adalah satu ‘wake up call’ dan katanya bukan bererti selepas ini tiada jenayah langsung.

“Saya juga ingin menyeru agar rakyat di Selangor memberi kerjasama dengan pihak bertanggungawab sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti tidak sihat wujud di kawasan sekolah dan awam. Peranan ini harus dimainkan semua pihak.

“Mereka harus membuat aduan kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya agar masaalah ini dapat ditangani sebaiknya,” katanya.

Islam bukan milik melayu semata-mata

Islam bukan milik Melayu semata-mata

Nik Abdul Aziz Nik Mat

Teks ucapan Majlis Penutup Kelantan International Business Forum

Firman Allah yang bermaksud:
Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). (Surah Al-Hasyar: 7)

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah keizinanNya, kita dapat berkumpul di dalam forum yang diadakan sempena dengan expo cheng ho ini. Tahniah saya rakamkan kepada Jawatankuasa Penganjur Kelantan International Business Forum dan Ekspo Cheng Ho kerana telah berjaya menganjurkan program bertaraf antarabangsa seperti ini. Saya difahamkan bahawa program yang julung kali diadakan di Kelantan telah mendapat sambutan yang amat membanggakan terutama Ucaptama oleh Setiausaha Agong Asean, Tuan Yang Terutama Dr Surin Pitsuwan.

Kelantan International Business Forum yang diadakan sempena Ekpo Cheng Ho: Pesta Perdagangan Kelantan – China memfokuskan kepada usaha bersama untuk mengukuhkan jalinan dan rangkaian perniagaan serta inisiatif kerjasama di kalangan usahawan, ahli-ahli perniagaan dan pelbagai pihak di rantau Asia terutama negara-negara Asean.
Fokus utama seminar ini ialah bagi membincangkan peluang-peluang perniagaan yang boleh diterokai bersama di antara ahli-ahli perniagaan, pihak swasta dan pihak kerajaan antara negara-negara Asean dan China termasuk Kelantan.

Kehadiran sistem ekonomi Islam telah memberikan harapan baru bagi umat Islam di dalam usaha untuk membebaskan diri dari cengkaman ekonomi yang berasakan riba. Dengan terasasnya sistem perbankan Islam yang pertama di Malaysia pada tahun 1983, umat Islam di Malaysia boleh menarik nafas lega kerana telah mempunyai alternatif kepada sistem ekonomi mirip kapitalisme yang telah lama berakar di negara kita ini. Di Kelantan, kita telah menyahut usaha yang positif ini dengan mengarahkan semua simpanan wang kerajaan dipindahkan ke dalam perbankan Islam.

Sekalipun tindakan ini pada mulanya mendapat respon negatif dari banyak pihak, namun alhamdulillah, wang kerajaan dapat diselamatkan daripada terlibat dengan sistem berasakan riba yang boleh menjauhkan keberkatan dan mengundang kemurkaan daripada Allah SWT.Islam pada hakikatnya merupakan agama yang syumul. Undang-undang yang didraf oleh Allah SWT bukan hanya setakat berkuatkuasa di dalam masjid dan madrasah semata-mata namun ia dituntut untuk dilaksanakan dalam segenap aspek kehidupan.

Inilah pelan yang telah dibuat oleh Allah SWT ketika menciptakan manusia. Jika manusia sendiri sekiranya ingin membina rumah atau bangunan, terlebih dahulu akan membina pelannya, maka langsung tidak munasabah jika dikatakan bahawa penciptaan manusia sebagai khalifah di bumi ini tiada pelannya. Pelan untuk manusia itulah yang dinamakan Islam. Menerima Islam bererti menerima pelan yang ditentukan oleh Allah SWT, menolak Islam bererti menolak pelan Allah dan inilah yang dinamakan sebagai syirik.

Islam sangat berbeza dengan kapitalis. Semangat kapitalis ialaah menambahkan kekayaan kepada golongan yang sudah kaya dan meletakkan jurang yang besar di antara golongan kaya dan miskin. Islam pula melarang harta berlegar di kalangan orang-orang yang kaya semata-mata sebagaimana ayat yang saya bacakan di awal ucapan tadi. Justeru, Islam telah meletakkan garis panduannya yang tersendiri di dalam berekonomi.

Ini kerana Islam bukanlah agama yang datang untuk meletakkan manusia dalam dunia kerahiban sehingga melupakan agenda ekonomi. Islam sama sekali tidak boleh menerima apa yang dituntut oleh golongan sekular supaya meletakkan agama berasingan daripada sistem kehidupan. Allah SWT sendiri telah menceritakan sikap orang-orang Quraisy sebelum kedatangan Islam yang suka berniaga dan amalan ini tidak pernah dilarang oleh Islam.
Yang bermaksud: Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah) (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan. (Surah Quraisy: 1-4)

Ini menunjukkan amalan perniagaan yang merupakan nadi kepada ekonomi tidak pernah dilarang oleh Islam, cuma diperintahkan agar jangan lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT di atas nikmat yang dikurniakan. Hubungan di antara manusia dengan Allah SWT tidak boleh putus hanya kerana kesibukannya di dalam mencari kekuatan ekonomi.

Inilah yang ditegaskan pula oleh Allah SWT di dalam ayat yang lain yang bermaksud: Orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Surah an-Nur: 37)

Jika ditinjau di dalam sejarah, perancangan dan aktiviti ekonomi telah berlaku dalam zaman Nabi Yusuf a.s yang menjadi Menteri Ekonomi pertama di Mesir. Baginda telah meletakkan asas Ilmu Ekonomi dengan membuat satu perancangan rapi bagi memastikan negara mempunyai bekalan yang mencukupi apabila menghadapi musim kemelesetan. Namun begitu kegiatan ekonomi pada awal Islam agak terbatas dengan kegiatan jual-beli sahaja di pasaran yang mudah.
Mulai abad kedua Hijrah bermulalah beberapa kajian mengenai kegiatan ekonomi secara khusus dan lahirlah tulisan-tulisan mengenai hukum riba, sistem harga, monopoli, percukaian, zakat, kewangan kerajaan dan sebagainya. Tulisan-tulisan ini membicarakan hukum hakam muamalat mengikut mazhab masing-masing.Dua tokoh yang sering disebut sebagai bapa Ekonomi Islam ialah Ibni Taymiyah (1262-1328 Masehi) dan Ibn Khaldun (1332-1406 Masehi). Ibn Taimiyah yang berpusat di Damsyik adalah terkenal dengan pandangannya mengenai harga setara, pasaran sempurna, kawalan harga, monopoli, penyorokan dan spekulasi.

Manakala Ibn Khaldun pula, di dalam kitabnya yang terkenal, iaitu Mukaddimah Ibn Khaldun, menyentuh banyak perkara ekonomi seperti nilai, buruh, sistem harga, hukum permintaan dan penawaran, penggunaan dan pengeluaran, wang, modal, kewangan negara, dll. Beliau yang berasal dari Hadramaut dan berpindah ke Andalus merupakan tokoh ekonomi dengan pemikiran ekonomi yang penting yang mendahului Adam Smith dengan jarak waktu 400 tahun.
Hari ini masyarakat umat Islam muka membuka mata semula terhadap kepentingan membuat pilihan yang baik untuk kepentingan ukhrawi mereka. Dari sudut ekonomi, masyarakat mula tidak asing dengan istilah-istilah di dalam fiqh mualamat seperti mudharabah, wadiah, musyarakah, murabahah dan ijarah. Perkembangan positif ini perlu dikekalkan momentumnya agar akhirnya nanti Islam diterima secara keseluruhannya tanpa syak wasangka. Saya optimis, akan sampai satu masa di mana sistem ekonomi Islam diterima sebagai sistem ekonomi global yang akan menolak sepenuhnya sistem ekonomi riba yang jelas sekali tidak adil dan menindas.

Kata para hukama’ :
Di dalam usaha untuk memberikan kefahaman Islam yang sebenar inilah, maka Kelantan menganjurkan expo Cheng Ho yang julung-julung kali diadakan di rantau ini. Cheng Ho selaku seorang muslim telah diberikan kepercyaan oleh maharaja cina untuk melakukan misi perdagangan ke seluruh dunia termasuklah ke Tanah Melayu sekitar 500 tahun yang lampau memberikan satu gambaran bahawa Islam bukanlah milik Melayu semata-mata tetapi milik semua bangsa.
Justeru, kerajaan Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam melangkah ke depan melangkaui sempadan bangsa yang disemarakkan oleh golongan-golongan tertentu dengan mengadakan expo seperti ini. Alhamdulillah, di tengah-tengah seruan perkauman yang menebal di samping ditiup oleh semangat politik bangsa yang melampau, kita bangkit menerobos sempadan dengan meletakkan Islam sebagai dasar di dalam berpolitik dan bernegara. Harapan saya agar rakyat dapat membuka mata di dalam menilai kepimpinan yang mahu dipilih agar jangan lagi menjadikan agenda bangsa sebagai keutamaan kerana ia hanya akan menyemerakkan api permusuhan yang tidak berkesudahan.

Kalau memilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Kalau memilih pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak urusetia di atas penganjuran forum seumpama ini. Terima kasih kerana sudi hadir ke Kelantan pada kali ini. Semoga kunjungan tuan-tuan ini bukanlah kali yang terakhir, Insya-allah. Semoga setiap amalan kita mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Sabtu, 27 November 2010

Tanggungjawab sebelum berumahtangga

Tanggungjawab sebelum berumahtangga

Untuk menolong kita di dalam usaha-usaha membina rumah tangga yg Islami, Islam telah memberikan petunjuk kepada kita.

Diantaranya adalah:

SATU: Pernikahan kita haruslah kerana Allah.
Iaitu bertujuan utk:-membina sebuah rumah tangga yg Islami-melahirkan keturunan yg soleh-membina keluarga yg sanggup memikul amanah dan dapat melaksanakan kewujudan hidayah Allah sehingga hidayah tersebut akan terus berlanjutan.

DUA: Pernikahan ditujukan untuk menjaga pandangan & kehormatan kita sehingga kita betul-betul bertakwa kepada Allah.
Rasulullah SAW telah bersabda:“Allah berhak menolong tiga golongan: orang yg berjihad di jalan Allah,hamba mukatab yg ingin membayar harga tebusannya, dan orang yg menikah dgn tujuan utk memelihara kehormatan dirinya.” (HR Tirmidhi, Ibn Hibban, dan Al-Hakim).
Sabda Rasulullah SAW yg lain:
“Barang siapa yg menikah bererti dia telah menyempurnakan sebahagian agamanya, maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah yg merupakan sebahagian lainnya lagi.” (HR al-Baihaqi)

TIGA: Kita haruslah bijak dalam memilih pasangan hidup yg akan menjadi teman hidup kita yg diharapkan dapat seiring dan sejalan. Ini memerlukan usaha yg sungguh-sungguh.
Rasulullah SAW telah bersabda:“Pilihlah (yg terbaik) utk keturunanmu karena (kegagalan dari) satu generasi akan menuju kepada krisis.” (HR Ibnu Majah dan Abu Mansur)

EMPAT: Kita hendaklah memilih pasangan hidup yg memiliki akhlak yg baik & berpegang teguh kepada agama, jadi kekayaan dan wajah bukanlah ukuran utama.
Sabda Rasulullah SAW:“Janganlah kamu menikahi wanita kerana kecantikannya; boleh jadi kecantikannya itu akan membuat mereka hina. Janganlah kamu menikahi wanita kerana hartanya; boleh jadi hartanya itu akan membuat mereka zalim. Tapi nikahilah mereka kerana agamanya. Wanita hamba sahaya yg tuli namun beragama adalah lebih baik.” (HR Ibnu Majah)

LIMA:
Seperti yg disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:“Siapa yg menikahi wanita kerana ketinggian kedudukannya, pernikahan itu tidak akan membawa sesuatu kepadanya kecuali kehinaan. Barangsiapa menikahi wanita kerana hartanya maka itu tidak akan menambah sesuatu kepdanya kecuali kemiskinan. Barangsiapa yg menikahi wanita kerana keturunannya, perkawinan itu tdk akan menambah sesuatu kepadanya kecuali hina dina. Dan barang siapa yg menikahi wanita dg tujuan agar dapat menahan pandangannya, memelihara kehormatannya atau menghubungkan silaturahim, Allah akan memberikan berkah kepadanya

Wallahualam…

Jumaat, 26 November 2010

Ku begini dan terus begini..

Ku disini dan terus disini..masa terus berlalu..namun aku tetap begini.terkadang aku termenung, dan mengelamun..terkadang aku tersenyum sendi rian ..walaupun kadang-kadang aku kelihatan keseorang an dan bersendirian ,namun hatiku sentiasa terhibur kerana aku tahu dan yakin Allah sentiasa bersamaku,melihatku dan menilaiku ..bukannya manusia..tiada apa pada penilaian dan pandangan manusia.Mereka jua insan seperti ku yg punyai kekurangan..itu hak mereka jika ingin menilai kekurangan dan kelebihanku…tiada hak utk aku memarahi mereka.
Aku terus begini dengan hidupku…kutempuhi segalanya yang perlu aku tempuhi dgn tabah ..banyak perkara dlm dunia yg aku tidak mengerti kerana aku Cuma ada ilmu yg dikurniakan Ilahi ..masih banyak ilmu yg perlu aku pelajari,dan banyak lagi perkara yg perlu aku terokai agar aku mengerti ttg hidup.
Aku terus begini..kadang-kadang hanyut dgn kelalaian..apabila terasa hati kosong dan perlukan sesuatu memenuhi hati…aku terus mencari dan mencari sehinggalah jiwa ku terasa terisi kembali…pokoknya hatiku telah terasa gembira..

Kadang-kadang aku bertanya pada diri..apa yg diperlukan dalam hidup..harta,wang,kasih sayang ,cinta,kekasih,perhatian?semua ini diperlukan dalam hidup…..harta diperlukan untuk hidup,tapi bukanlah satu perkara yg menimbulkan tamak haloba dalam hati..kasih sayang diperlukan kerana ia memberi perasaan bahagia dalam hati..kita memerlukan pasangan dalam hidup kita,suami atau isteri untuk melengkapkan hidup kita di dunia ini…aku dambakan cinta,iaitu cinta Ilahi..aku masih solo,jadi tidak layak untuk aku dambakan cinta seorang lelaki yg belum mempunyai ikatan yg sah dgn aku …untuk masa sekarang,aku dambakan cinta Ilahi iaitu pemilik cinta,yg mengurniakan segala-galanya kepada manusia..yg mengurniakan harta,cinta,kasih sayang,pasangan,dan semuanya.
Jika suatu hari nanti,aku dikurniakan pasangan…aku mohon agar ikatan yg dibina dgn pasangan aku ,akan lebih mendekatkan aku dgn Allah swt…agar bertambah-tambah cinta aku padaNya dan cinta Allah swt padaku..

Ku masih begini..kadang-kadang berangan-angan dan berkhayal ttg hidup dan masa depan..tak salah,bukan angan-angan ini..kerana bermula dgn angan-angan ini,insyaallah suatu hari nanti akan menjadi reality.
Ku masih begini…memikirkan dan memuhasabah dari..sudah berapa banyak ibadat yg dilakukan utk membela diri di hari kiamat nanti…rasanya masih sikit amal ibadat yg dilakukan…rasanya masih banyak kelemahan dan kekurangan ibadat yg perlu diperbetulkan.,..rasanya umur hari ke sehari semakin bertambah…namun aku masih begini..entah ke mana hala tuju aku nanti..tercapaikah aku untuk menjadi insan yg Berjaya di muka bumi ini?yang mampu aku lakukan sekarang,adalah berusaha dan terus berusaha utk menggapai cita-cita…

Cinta itu ibarat air yang diperlukan oleh setiap makhluk di muka bumi utk terus hidup.tanpa cinta ,tidak bermakna lah hidup ini..cinta melahirkan rasa bahagia,damai ,tenang…jangan dicampurkan adukkan perasaan cinta itu dgn maksiat…kerana cinta itu suci …kerana asal dari cinta dalam sebuah keluarga ,bisa melahirkan insan yg berjiwa waja,berakhlak mulia,yg bisa menerajui Negara berpaksikan islam..begitu hebatnya cinta.
Cinta adalah anugerah Allah swt yg teragung..tapi ada sesetengah orang tidak mengenal itu cinta dan tidak menghargai cinta yg ada di depan mata ..kerana cinta itu ,dapat dirasai dgn hati bukannya dgn pacaindera maupun secara fizikal…Marilah kita sama-sama membersihkan hati kita agar kita dapat merasai erti sebenarnya cinta..
Kadang-kadang sesetengah orang tidak menyedari cinta itu hadir sehinggalah orang yg menyintainya pergi meninggalkannya..barulah dia sedari yg dia begitu menyintai..alangkah ruginya org yang sebegini…..

Ahad, 21 November 2010

Catatan penulisan

Assalamu'alaikum

Bukan mudah untuk mencari idea bagi penulisan,kadang-kadang minda ana ligat memikirkan topik yang ingin dibincangkan .Disebabkan minat yang mendalam dalam bidang penulisan dan blogging,ana cuba juga untuk mencari idea-idea baru bagi pengisian dalam blog ini.

Ana sangat menyukai sajak,puisi dan yang seumpama dengannya tapi ana adalah dalam aliran sains.Ana meminati kedua-dua bidang,iaitu sains dan sastera tapi ana mungkin lebih cenderung ke arah sains kerana ana sudah berada dalam bidang ini sejak ana berumur 16 tahun.Ana belajar aliran sains tulen ketika berumur 16 dan 17 tahun.Kemudian,ana melanjutkan pelajaran ke Kolej Mara Kulim dalam aliran sains hayat untuk matrikulasi.Selepas itu,ana melanjutkan pelajaran di UPM dalam bidang Bioteknologi selama 3 tahun.

Cuma satu sahaja yang ana tidak dapat peluang iaitu bekerja dalam bidang aliran sains.Insyaallah,ana akan cuba untuk merealisasikan impian ini.Ana sangat meminati bidang Bioteknologi kerana peluang pekerjaan yang amat cerah dan salah satu teknologi yang dapat digunakan untuk kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

Bioteknologi adalah salah satu bidang yang sudah lama digunakan oleh barat untuk peningkatan taraf hidup mereka .

Ana tidak lah sehebat ustaz ataupun ustazah yang belajar dalam aliran agama untuk menyampaikan dakwah tapi niat ana dalam blog ini untuk perkongsian ilmu dengan sahabat-sahabat di luar sana yang mungkin masih dalam persimpangan tentang agama islam.Ana bukanlah belajar dalam aliran agama, ana adalah pelajar aliran sains sekolah menengah.Ana juga adalah insan seperti sahabat-sahabat yang masih mencari ilmu dan akan terus mencari ilmu terutama ilmu agama islam untuk diamalkan dan diterapkan dalam jiwa.

Ana pernah mengambil subjek bahasa arab dari tingkatan 1 sehingga 3.Itu sahaja ,tidak lebih dan tidak kurang dari itu..cuma ia sedikit kelebihan bagi ana sebab ana lebih mudah untuk memahami bahasa arab kerana ana sudah ada basic bahasa arab.

Kembali kepada topik penulisan,kebiasaannya orang yang terlibat dalam bidang ini suka pembacaan novel.Ana kurang meminati pembacaan novel,mungkin kerana banyak novel yang berunsurkan cinta pada lelaki.

Solat berjemaah dan kefahaman menjadi imam

Solat Berjamaah dan Kefahaman Menjadi Imam

Siri ke-5, susunan Us TUAN MOHD SAPUAN TUAN ISMAIL menerangkan sifat imam yang disunatkan dan cara mengganti imam. Siri ke-6 membincangakan syarat sah sembahyang, rukun sembahyang dan surah-surah yang dibaca Nabi saw di dalam sembahyang akan menyusuli , insyaAllah. Selamat membaca, semoga bermanafaat kepada pengunjung serta kami khususnya - zy

Sifat Imam Yang Disunatkan.

Yang terbaik menjadi imam ialah yang paling qari dan paling faqih. Orang yang mempunyai dua sifat ini hendaklah didahulukan daripada orang lain. Dah jika tiada yang mempunyai dua sifat ini, maka hendaklah didahulukan yang faqih, kemudan yang qari. Dan jika bersamaan dua calon imam pada faqih dan qari, maka hendaklah didahulukan yang lebih warak, dan jika sama juga, maka didahulukan yang lebih berumur, dan jika sama juga, maka hendaklah didahulukan dengan yang mempunyai keturunan yang baik. Jika sama juga, maka hendaklah didahulukan yang lebih bersih pakaian dan tubuh badannya, dah jika sama juga, maka didahulukan yang lebih baik suaranya.

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ, قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

Daripada Abu Mas'ud al-Ansoriyy, Rasulullah s.a.w. bersabda: "yang paling terbaik menjadi imam seseuatu kaum ialah yang paling qori di kalangan mereka, dan jika mereka adalah sama sahaja dalam bacaan, maka yang paling mengetahui dengan sunnah…".

Hadis riwayat Muslim.
Dalam satu hadis yang lain, Malik bin al-Huwairith menceritakan, kami beberapa orang pemuda datang belajar dengan Rasulullah s.a.w. dan umur kami adalah agak sama sahaja. Dan Rasulullah s.a.w. memang seorang yang sangat penyayang dan sangat baik. Bila dah sampai dua puluh hari kami berada bersamanya, baginda merasa yang kami merindui keluarga kami.

Baginda bertanyakan tentang ahli keluarga yang kami tinggalkan dan kami pun menceritakannya kepada baginda. Lalu baginda bersabda: "Baliklah kamu semua kepada keluarga dan berada bersama mereka. Ajarkanlah mereka dan suruhlah mereka…dan sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat daku bersembahyang dan bila masuk waktu sembahyang, maka azanlah salah seorang daripada kamu, dan hendaklah yang paling berumur di kalangan kamu yang menjadi imam kamu". Riwayat Bukhari.
Berkata Imam Bukhari: "Orang yang berilmu dan mempunyai kelebihan itu lebih berhak menjadi imam". Beliau berdalilkan dengan hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh Saidina Abu Bakar yang menjadi imam sembahyang ketika baginda sakit (sebelum kewafatannya).


Menggantikan Imam Semasa Sembahyang

Jika berlaku sebarang keuzuran bagi imam atau dia teringat yang dia berhadas, maka boleh baginya untuk menggantikan orang lain di tempatnya, supaya mengimami sembahyang. Ketika mana Saidina Umar ditikam dalam sembahyangnya (yang membawa kepada kewafatannya), dia telah menjadikan Abdul Rahman bin Auf sebagai gantinya. Lalu beliau mengimami sembahyang dan meringkaskannya. Riwayat Bukhari. Berkata Imam Ahmad: "Jika imam menggantikan seseorang pada tempatnya, maka (perbuatan itu ada asalnya kerana) Saidina Umar dan Saidina Ali telah melakukannya. Dan jika mereka bersembahyang bersendirian (tidak berjemaah sesudah berlaku sesuatu keuzuranbagi imam), maka sesungguhnya Saidina Muawiyah telah ditikam dalam solatnya, dan para makmum menyempurnakan solat masing-masing.

Syarat Wajib Sembahyang

Diwajibkan bersembahyang kepada muslim yang berakal serta baligh. Dan yang suci daripada haid dan nifas (bagi perempuan). Orang yang kafir akan diazab di akhirat dengan sebab dosa meninggalkan solat, tetapi mereka tidaklah diwajibkan mengqadhanya jika memeluk Islam. Begitu juga tidak diwajibkan qadha kepada perempuan yang kedatangan haid dan nifas setelah suci daripada kedua-duanya. Dan tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak, sekalipun menjadi kewajiban kepada penjaga untuk menyuruh mereka bersembahyang sesudah mereka berumur tujuh tahun ke atas.

Sumber:
Dari blog http://tasekpauh.blogspot.com